27 Ogos 2015

Memperkasakan Akidah dan Akhlak Remaja.

Saranan di bawah telah dicadangkan kepada pimpinan negara melalui saluran pemimpin politik yang telah dilantik memegang jawatan di dalam kabinet dan bertanggung jawab terhadap dakwah dan tarbiah umat Islam di Malaysia.

Semoga kertas cadangan ringkas ini mendapat perhatian semua "stakeholder" yang terbabit.

PROPOSAL PROGRAM OUTREACH
SEKOLAH JATIDIRI (SEJATI)

PENDAHULUAN

Masalah sosial dan jenayah di kalangan remaja Islam yang berumur daripada 13-15 tahun semakin menjadi parah dan serius daripada tahun ke setahun. Peningkatan masalah ini boleh kita lihat daripada laporan media dan kes-kes yang dilaporkan kepada polis dan pihak berwajib yang lain. Kes-kes yang tidak dilaporkan mungkin berkali ganda lagi.

Ramai pihak yang sekadar meviralkan semua masalah ini di internet dan media cetak, namun hingga kini tiada satu penyelesaian yang logik, konkrit dan bersifat holistik yang dicadangkan untuk menyelesaikan masalah negara ini. Tujuan proposal ini adalah untuk mencadangkan secara ringkas idea dan program yang diharapkan dapat membantu kerajaan menyelesaikan masalah remaja seluruh negara secara praktikal dan konsisten dengan pelaburan yang minima, demi melahirkan sumber tenaga insan yang lebih baik di masa hadapan.

MATLAMAT

Melahirkan generasi remaja dan belia yang ada jatidiri Islam, seimbang ROHANI, MENTAL dan FIZIKAL mereka, bagi menjadi pelapis membangunkan Negara. Program yang dicadangkan adalah berbentuk “OUTREACH” (MODUL PLKN) dan sasaran utama program ini adalah remaja Islam berumur 13 tahun hingga ke 15 tahun.

Golongan yang disasarkan ini adalah golongan pelajar Islam Sekolah Menengah Rendah yang vacum daripada segi pengisian rohani terutamanya ilmu, amal dan perjuangan Islam. Pendidikan agama Islam di sekolah menengah kebangsaan banyak menekankan kepada aspek lulus peperiksaan serta cemerlang akademik dan ini merupakan satu kerugian kepada pembentukan minda dan akhlak pelajar menurut acuan islam. Aktiviti yang memberikan advantage kepada pelajar Islam SAHAJA juga kerap dipertikaikan oleh mereka daripada agama lain.

Untuk mengatasi masalah ini, pihak Jabatan dan Majlis agama Islam Negeri perlu berkerjasama dengan kerajaan Pusat untuk menubuhkan satu modul pentarbiahan pelajar menengah rendah, sebagai kesinambungan daripada Sekolah Agama Rakyat  SAR (Tahun 1-6) yang sudah berjalan sedia ada. Sekolah Agama Jatidiri Islam ini (SEJATI) boleh dilaksanakan berpusat di SAR sedia ada dan ini dapat menjimatkan kos pentadbiran dan juga tenaga kerja.

Sesuai dengan perkembangan remaja, pengisian silibus dan program SEJATI ini perlu diperincikan oleh pakar-pakar pembangunan insaniah yang merangkumi pembangunan dan pemantapan ROHANI, MINDA dan FIZIKAL. Penumpuan 75 peratus adalah dicadangkan diberi kepada pembangunan ROHANI dan MINDA bagi membentuk jatidiri mukmin yang sejati dan kuat. Pembangunan fizikal boleh ditumpukan kepada sukan sunnah seperti berenang, memanah dan sukan berkuda.

OBJEKTIF

1.  Melahirkan remaja yang seimbang ROHANI, MINDA dan FIZIKAL
2.  Menyediakan pemimpin pelapis orang Melayu yang ada jatidiri agama dan bangsa yang kukuh.
3.  Menyelesaikan secara tak langsung masalah sosial dan jenayah di kalangan remaja Melayu.
4.  Memberikan ruang dan peluang kepada pakar-pakar motivasi rohani dan ustaz/ustazah menyumbang idea dan ilmu mereka untuk membantu ke arah Malaysia yang lebih sempurna.
5. Mencetuskan ruang pekerjaan baru untuk siswazah kursus agama lepasan universiti dalam dan luar negara.
6.  Mencetuskan satu komuniti baru dalam masyarakat Islam yang boleh digabungkan untuk aktiviti dakwah, ekonomi, sukan, kebudayaan, khidmat sosial dan kebajikan serta aktiviti lain.
7.  Boleh difikirkan bersama.


KUMPULAN SASARAN

Kumpulan sasaran untuk melaksanakan projek ini ialah golongan pelajar Islam semua bangsa di sekolah menengah rendah yang berumur dari 13 tahun sehingga 15 tahun.

JAWATANKUASA PELAKSANA

Membabitkan “stakeholder” yang terbabit dalam perlaksanaan Sekolah Agama Rakyat sedia ada dan badan dakwah, NGO Islam serta pihak yang difikirkan wajar berada dalam team perlaksana.

PENUTUP

Proposal ini adalah cetusan idea awal yang mesti dimurnikan. Ia memberikan idea kasar, hasrat dan matlamat murni mengapa SEKOLAH JATI DIRI (SEJATI) ini perlu ditubuhkan dan disegerakan. Bagaimana bentuknya, silibus selama tiga tahun, bentuk program dan cara perlaksanaannya perlu di bincangkan dgn detail oleh kumpulan perlaksana.
Pihak Gagasan Satu Ummah menawarkan diri menjadi sebahagian daripada AJK perlaksana, untuk input idea dan lain2 seandainya rancangan ini diterima. Kami juga berharap kertas proposal ini dapat dinaik tarafkan kepada kertas kerja yang lebih profesional dan meyakinkan dengan data dan fakta yang dapat menyokong idea dan hujah.

G1UMMAH.

0 comments:

Catat Ulasan