25 September 2015

Penggunaan IT di dalam Kuliah Pengajian Ilmu di Masjid.

Bila saya lihat pengajian agama Islam yang kian lesu di masjid dan hanya berjaya menarik golongan pencen sahaja, saya selalu berharap agar para asatizah dan tok-tok guru agama kitab kuning melakukan satu anjakan paradigma dengan menggabungkan matan ilmu dalam kitab mereka dengan huraian fakta zaman kini yang dipersembahkan dengan lebih segar menggunakan laptop dan LCD presentation.

Gabungjalin antara ilmu orang lama dan kepakaran IT generasi kini sangat penting untuk merealisasikan benda baik ini.
Eksploitasi audio dan video untuk menyokong fakta dan hujah.

Kebanyakan masjid sudah menyediakan LCD dan skrin di premis masing-masing dan terpulanglah kepada mereka yang memberi kuliah untuk mempelbagaikan resepi pembelajaran mereka.

Kekangan utama dalam perkara ini biasanya adalah majoriti asatizah dan daie tidak menguasai IT, malu sombong untuk meminta bantuan daripada yang pakar dan kurang kreativiti dan innovasi di dalam menyampaikan kuliah yang menarik semua golongan.

Untuk menutup semua kelemahan ini alasan BIDAAH adalah jalan keluar yang paling selamat.

Jika nabi Muhammad s.a.w hadir di kalangan kita, saya sangat yakin dan optimis baginda tentu memerintahkan umat Islam mempunyai satelit dan kemudahan media massa dan elektronik mereka sendiri untuk menyampaikan dakwah 24 jam sehari, sepanjang tahun ke seluruh dunia.

Sejarah kegigihan usaha dakwah baginda dan para sahabat untuk manusia sezaman mereka menyokong hujah dan membuktikan perkara ini.

Wallahua'lam.